KPDN komited usaha kukuh Rantai Bekalan Makanan: Menteri

Oleh: Zacherlyn Ad

PENAMPANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa kerajaan akan berusaha untuk memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan melalui penambahbaikan infrastruktur, pemerkasaan sektor peruncitan, penyediaan platform untuk ketelusan harga dan penguatkuasaan kawal selia secara menyeluruh.

“Ketersediaan infrastruktur pemasaran yang merangkumi pusat pengumpulan, pemprosesan, pembungkusan dan pengedaran serta kemudahan logistik dan perkhidmatan digital akan dipertingkat melalui kolaborasi dengan sektor swasta.

“Peruncit berskala kecil dan sederhana juga akan diperkasa bagi meningkatkan penglibatan dalam hab pemasaran agromakanan yang akan diperkenalkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sebuah sesi sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, teras Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut memfokuskan kepada usaha menaikkan lantai, melalui pelan menangani kos sara hidup.

“Kos sara hidup merupakan cabaran utama di peringkat serantau dan global, yang menjadi lebih rumit apabila berdepan cabaran konflik geo politik dan kestabilan serta keterjaminan bekalan makanan yang terkait dengan isu perubahan iklim,” katanya lagi.

Tambah Armizan, usaha menangani isu kos sara hidup itu melibatkan dua kerangka strategi utama.

“Kita lihat juga kepada persoalan peningkatan kos, iaitu kestabilan harga dan kadar inflasi, serta soal meningkatkan keupayaan sara hidup itu sendiri melalui penambahan bantuan dan menjana pendapatan rakyat.

“Aspek kos ini, melibatkan kestabilan harga dan kadar inflasi, yang akan bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan dalam pasaran.

“Untuk itu, perlu wujudnya persaingan sihat dan usaha membanteras manipulasi dalam pasaran khususnya barangan keperluan harian pengguna,” katanya. 

Tinggalkan komen