Oleh: Zacherlyn Ad
PENAMPANG: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementeriannya bakal membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan untuk menyediakan maklumat bagi memastikan ketelusan harga di sepanjang rantaian makanan.
“Kita rasakan ini penting untuk membantu usaha menangani aktiviti pencatutan dan manipulasi harga termasuk oleh orang tengah.
“Penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Akta Persaingan 2010 akan dipergiatkan dengan memanfaatkan data daripada repositori ini bagi membendung aktiviti manipulasi harga.
“Untuk pengetahuan sistem ini akan melibatkan kerjasama daripada pelbagai kementerian dan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sesi sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Armizan, setakat ini, sistem itu juga bakal memberi perhatian kepada aspek perbezaan harga antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Katanya, usaha pengukuhan sistem rantaian makanan itu turut meletakkan sasaran untuk menyeragamkan interaksi antara permintaan dengan bekalan.
“Kita mahu wujud persaingan sihat, di mana bekalan dengan permintaan adalah seiring, setanding dan ini penting kerana ini boleh memastikan peningkatan harga barang secara drastik boleh dielakkan,” katanya lagi.
Tambah beliau, penyelidikan fasa pertama bagi sistem itu sudah selesai dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan barang pertama yang disenaraikan adalah ayam.
“Ada lima barang utama yang kita ingin pantau bagi permulaan sistem ini dan yang pertama ialah harga ayam, lagi empat barang kita akan teliti kemudian, selepas mendapat hasil kajian dan saranan daripada pihak pengkaji yang bekerjasama dengan kementerian,” tambah Armizan.
