SEMPORNA: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 kelak.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti itu sudah mengenalpasti calon yang berpotensi untuk menang dan yang dikehendaki oleh rakyat di kawasan.
“Warisan akan tanding semua 73 kerusi dan kita sudah ada calon-calon yang berpotensi, tunggu nanti kita akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam sebuah majlis bersama penduduk Kampung Imam Laggu, Jalan Kunak-Semporna, kelmarin.
Dalam pada itu, beliau turut menafikan dakwaan bahawa Warisan akan berkolaborasi atau bergabung dengan parti lain, termasuk Perikatan Nasional (PN) seperti yang dicadangkan oleh netizen dan pemerhati politik.
“Kita tidak tahu sebab kadang-kadang banyak cerita yang timbul, sebelum ini cerita pasal bekerjasama dengan UMNO, sekarang pula cerita dengan PN, lepas ini, apa lagi agaknya?
“Macam yang saya tegaskan, kita jelas dengan hala tuju pati, perjuangan kita adalah berpaksi dan untuk orang di Sabah,” katanya lagi.
