Tidak kaitkan kematian arwah Zara dengan mana-mana VIP atau VVIP: Peguam

KOTA KINABALU: Peguam kepada ibu arwah Zara Qairina Mahathir, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri memberitahu bahawa anak guamnya, Noraidah Lamat tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian arwah anaknya itu dengan mana-mana individu.

“Ibu arwah tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang mengaitkan kejadian itu dengan mana-mana individu berprofil tinggi.

“Apa saja andaian atau dakwaan seumpama itu adalah tidak berasas dan bukan datang daripada anak guam kami.

“Beliau juga tidak mempunyai apa-apa maklumat atau info berkaitan dakwaan kononnya ada teriakan ‘kau pembunuh’ oleh pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian, dan ia hanya diketahui menerusi hantarang yang dibuat, serta tular di laman media sosial,” katanya dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Selain itu, ibu arwah Zara Qairina juga tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan tiga pelajar sekolah yang dipindahkan.

“Beliau tidak ada buat apa-apa kenyataan pasal tiga pelajar sekolah dipindahkan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada hari kematian Zara.

“Maklumat itu cuma diketahuinya selepas tular di laman media sosial,” katanya lagi.

Orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi dan berhenti menyebarkan maklumat yang belum sahih berkenaan kes kematian arwah Zara, ibunya dan individu-individu lain.

“Apa saja maklumat yang boleh membantu siasatan kes ini boleh dikongsikan kepada pihak polis atau kami dan tindakan keras akan diambil kepada pihak yang menyebarkan dakwaan palsu yang mengganggu siasatan serta menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak,” jelasnya.

Arwah Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada 17 Julai lalu, sehari selepas beliau dikejarkan ke hospital kerana ditemui dalam keadaan parah di bangunan asrama sekolah tersebut, sekitar pukul 3 pagi.

Laporan awal mengatakan bahawa arwah Zara Qairina terjatuh dari tingkat tiga.

Walau bagaimanapun, tular di laman media sosial berkenaan kematian arwah dan rata-rata netizen mengatakan bahawa kejadian malang yang menimpa arwah adalah kerana buli.

Terdahulu, Istana Seri Kinabalu turut menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial, yang mengaitkan kes itu dengan ahli keluarga Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Musa Aman.

Selain itu, media turut melaporkan bahawa pihak polis telah merakam keterangan daripada 60 saksi berkenaan kes kematian arwah yang didakwa menjadi mangsa buli di asrama sekolah itu.

Tiga nama tular dan menjadi buah mulut netizen di laman media sosial ialah ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’, dan ‘Tomboi’.

Tinggalkan komen