KOTA KINABALU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan tiada sebarang bukti setakat ini yang mengaitkan penglibatan anak orang kenamaan (VIP), termasuk ahli keluarga menteri mahupun pihak Istana Negeri Sabah, dalam kes kematian arwah Zara Qistina, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya sentiasa komited menjalankan siasatan secara teliti tanpa sebarang kompromi bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarganya.
“Siasatan yang dijalankan setakat ini tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan penglibatan mana-mana anak orang kenamaan (VIP) dalam kes berkenaan, memandangkan tiada rekod menunjukkan anak-anak mereka bersekolah di sekolah itu.
“Kita ingin menegaskan, tidak akan ada kompromi atau perlindungan terhadap mana-mana individu yang terbabit, tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya dalam kenyataan media, di sini, kelmarin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menjejaskan proses keadilan.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan yang mendakwa kematian pelajar terbabit mempunyai kaitan dengan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh hingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.
Terdahulu, pihak Istana Seri Kinabalu tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut yang mengaitkan keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut memaklumkan kertas siasatan kes itu telah diserahkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ke Bukit Aman untuk diteliti sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan susulan.
Setakat ini, seramai 60 individu termasuk guru dan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha sudah dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan kes arwah Zara Qistina yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah berkenaan.
