Suami isteri ditahan miliki syabu bernilai RM17 ribu

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Sepasang suami isteri disyaki aktif mengedar dadah dicekup polis dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini, hari ini.

Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, tiga individu ditahan termasuk seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun di Kampung Sapadulang.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, berkata pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemui 0.17 gram syabu dianggarkan bernilai RM18.70. 

Siasatan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, tangkapan pertama membawa kepada serbuan susulan di sebuah rumah di Jalan SMK Sains, Batu 8, sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dan isterinya, 34.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 157.54 gram syabu bernilai kira-kira RM17,329.40 selain sitaan sebuah kenderaan, televisyen, telefon bimbit, wang tunai serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal mendapati suspek lelaki positif Metafetamin dan Amfetamin manakala isterinya negatif.

Kesemua suspek direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) akta sama.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah lain bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di daerah itu sentiasa terpelihara.

Tinggalkan komen