KOTA KINABALU: Presiden Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa beliau menentang blok Borneo.
“Tuduhan ini adalah pembohongan dan saya sudah melawat Sabah bertahun-tahun, saya akan terus melawat Sabah dan saya kenalpasti negeri ini ada potensi besar untuk pembangunan ekonomi.
“Bila masa saya cakap saya tidak sokong blok Borneo? Saya sendiri tidak tahu siapa dalam blok Borneo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam majlis Jelajah Rakyat di Tawau, malam tadi.
Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan bahawa pemimpin lalu menentang blok Borneo dan faktor itu telah menjadi pendorong kepada beliau untuk meninggalkan gabungan kerajaan lalu.
Blok Borneo wujud selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang memberikan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak ‘suara besar’ dalam Kerajaan Persekutuan ketika itu.
Selepas PRU 2022, Hajiji menarik sokongan kepada gabungan itu sekaligus meninggalkan Perikatan Nasional dan Bersatu.
Hajiji dan pemimpin senior Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) bersama-sama menyokong Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin ketika itu.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis itu, Muhyiddin berkata kerjasama dengan rakan kongsi politik yang kuat untuk berdepan pilihan raya adalah satu strategi penting.
“Perlu untuk jalin kerjasama dengan rakan sekutu yang kuat dan boleh diharap untuk kita bentuk Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Buat masa sekarang, strategi kita belum boleh dedahkan dan berkenaan kerusi, kita akan tentukan macam mana dan di mana, sesuai mengikut perbincangan dan pertimbangan kelak.
“Yang penting, calon-calon kita adalah individu yang ada keupayaan serta logo kita masih sama,” katanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan bahawa PN komited dalam usaha untuk menyelesaikan masalah infrastruktur di Sabah, termasuk isu lain yang berkaitan.
Namun begitu, Ketua PN Sabah, Datuk Seri Der. Ronald Kiandee terdahulu menjelaskan bahawa PN mampu untuk bergerak solo, dan membentuk Kerajaan Negeri serta Persekutuan seperti dulu.
Selain itu, beliau turut mengkritik gabungan yang mempromosikan slogan ‘Sabah untuk Sabahan’ tetapi berkerjasama dengan rakan sekutu dari pelbagai pihak.
“Ini cinta tiga segi,” jelasnya.
