Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Sekolah Kebangsaan Lahad Datu III komited dalam usaha untuk mentransformasi pendidikan menerusi penganjuran telah menganjurkan Karnival STEM dan Inovasi 2025 (InoKat25).
InoKat2025 turut melibatkan lapan buah sekolah iaitu SK Pekan, SK Binuang, SK Bikang, SK Permai, SK St Stephen, SK Silabukan, SK Bakapit dan SK Payang.
Guru Besar SK Lahad Datu III, Dr. Rosdah Herawaty Hamid berkata usaha itu adalah penting untuk menarik minat pelajar khasnya dalam bidang STEM.
“Perlu untuk para guru menghasilkan inovasi dan kajian tindakan bagi menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran (PnP).
“Pendekatan ini dapat meningkatkan motivasi, minat belajar dan kehadiran murid ke sekolah, sekali gus membantu pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA),” katanya.
Menurut beliau lagi, karnival itu dianjurkan dengan tujuan untuk mencungkil bakat dan memupuk minat murid dalam bidang STEM, di samping meningkatkan kemahiran praktikal, menggalakkan kreativiti serta membina kemahiran penyelidikan dan komunikasi.
“Selain pertandingan untuk murid, pertandingan inovasi dan kajian tindakan turut diadakan bagi meningkatkan kualiti pengajaran guru di dalam bilik darjah, serta membudayakan amalan penyelidikan untuk menangani cabaran pembelajaran.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Lahad Datu, Sektor Pengurusan Sekolah, Ustaz Aziz Sarail yang hadir merasmikan karnival tersebut.
“Penghargaan turut diberikan kepada Pengarah IPG Kampus Tawau, Dr. Najamuddin Bachora bersama lima pensyarah IPG Kampus Tawau iaitu Dr. Abdul Hamid Abdul Rahim, Dr. Rosnah Abdul Razak, Dr. Rosnah Jamba, Dr. Christina Sim Pei Pei dan Dr. Mad Rosli Saraamu,” katanya lagi.
Tambah beliau, sebagai Sekolah Penyelidikan dan Inovasi (SPIN), kerjasama itu menunjukkan sokongan IPG dalam memperkukuh budaya penyelidikan pendidikan di sekolah.
“Kejayaan penganjuran karnival membuktikan komitmen warga sekolah dalam menerajui perubahan serta membudayakan STEM dalam kalangan murid dan inovasi dalam kalangan guru.
“Karnival ini menampilkan pertandingan Microbotik, roket air dan Project Based Learning (PBL) untuk murid,” ujar beliau lagi.
