Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementeriannya menyokong usaha dan agenda yang dibawakan melalui konsep ‘slow food’ kerana ia adalah berkait dengan usaha memperjuang amalan pemakanan sihat.
“Kementerian menyokong agenda ini kerana ‘slow food’ ini secara mudah boleh difahami sebagai antonim kepada ‘fast food’.
“Ia lebih kepada usaha memperjuangkan amalan pemakanan sihat yang juga berkhasiat dan bernilai untuk tubuh badan kita.
“Konsep ini sudah ada sejak dulu lagi, dari zaman nenek moyang kita namun era permodenan atau urbanisasi sekarang, sudah mula mengorbankan gaya hidup sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir semasa Majlis Pra-Pelancaran My Food 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi.

Menurut Arthur, konsep ‘slow food’ boleh diadaptasikan dalam kehidupan moden terutamanya dibandar, dengan adanya usaha inovasi dan teknologi baru.
“Konsep ini agak mencabar untuk diwujudkan di bandar kerana ruang yang terhad, misalnya rumah bertingkat, macam mana orang mahu ada tanam sayur, kecuali dengan teknik hidroponik.
“Tetapi hal ini tidak mustahil andai ada inovasi dan teknologi yang boleh diwujudkan kelak, bagi membantu semua orang mewujudkan amalan ‘slow food’ tanpa mengira lokasi atau keberadaan mereka,” katanya lagi.
Tambah Arthur, pihaknya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan peruntukan berjumlah RM29 juta bagi usaha memperkukuh konsep rantai makanan.
“Peruntukan ini akan sangat membantu usaha kita meluaskan dan menambahbaik konsep rantai makanan, daripada penanaman hingga ke pemprosesan, pemasaran dan eksport.
“Kalau kita berjaya kukuhkan ini, pasti ada kebaikan dan hasil lebih baik untuk masyarakat kita,” jelasnya lagi.
My Food 2026 dianjurkan oleh Opulence Exhibition Services Sdn. Bhd. (OES) dan dijadualkan bakal berlangsung pada 7 hingga 9 Mei 2026, bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), serentak bersama Pameran Minuman dan Kafe Antarabangsa (ICBS 2026).
Acara itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persidangan yang dijangka mampu mengumpulkan pelbagai pihak berkepentingan dari pelbagai sektor polisi, industri, teknologi dan pertanian.
My Food 2026 juga berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan produk membina jaringan perhubungan, tarikan media dan pembeli serta hubungan strategik di antara pemain industri tempatan dan antarabangsa.
