Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Taktik licik sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi berjaya dipatahkan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain menyerbu perairan Kota Kinabalu awal pagi semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan hasil risikan dan pemantauan hampir sebulan itu dijalankan sekitar pukul 4.30 pagi membabitkan kerjasama bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNHEP) serta Jabatan Laut.
“Dalam operasi ini, dua kapal berjaya ditahan bersama enam kru kapal warga tempatan berusia antara 25 hingga 43 tahun yang dipercayai terbabit dengan aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal membawa muatan diesel dianggarkan berjumlah 250,000 liter yang disyaki untuk dijual secara haram kepada pelbagai kapal lain di sekitar perairan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut disita dalam serbuan tersebut ialah dua kapal, peralatan serta beberapa dokumen penting untuk siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM45.59 juta menjadikannya antara rampasan terbesar direkodkan di perairan Sabah setakat ini.
“Kedua-dua kapal ini dipercayai aktif melakukan transaksi diesel bersubsidi secara haram sejak beberapa bulan lalu dengan perairan Kota Kinabalu dijadikan lokasi utama,” katanya.
Tambah beliau, sejak Januari hingga Jun tahun ini, PPM Sabah telah merekodkan 119 kes penyelewengan bahan api petrol dan diesel dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM81.25 juta, manakala 135 individu ditahan kerana dipercayai dalang kegiatan ini.
Mohd Nazri turut menggesa orang awam supaya terus menyalurkan maklumat bagi membanteras sebarang kegiatan jenayah penyeludupan dan penyelewengan bahan api demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
