KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar memberitahu bahawa beliau menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan luar bandar Sabah yang lebih sistematik dan strategik.
“RMK13 bukan hanya mencerminkan keinginan untuk membangunkan infrastruktur dan ekonomi wilayah, tetapi turut memperkukuh prinsip keadilan sosial serta daya tahan ekonomi luar bandar dalam jangka panjang.
“Sebagai Ahli Parlimen dari Sabah, saya melihat RMK13 sebagai dokumen dasar yang mengarus-perdanakan kepentingan Sabah, terutamanya menerusi pelaburan dalam sektor ekonomi asas seperti pertanian, perikanan, dan industri asas tani.
“Peruntukan lebih RM227 bilion untuk sektor ekonomi, termasuk pembentukan hab perikanan bersepadu dan ekonomi biru di Sabah, adalah langkah tepat ke arah mengukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pendekatan menyeluruh itu turut merangkumi pemodenan sektor pertanian melalui automasi dan teknologi pintar, yang akan memberi impak besar kepada komuniti luar bandar.
“Saya turut menyambut baik pembangunan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, penaiktarafan depoh biodiesel di Sandakan dan Lahad Datu serta projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai antara projek berimpak tinggi.
“Penekanan terhadap pembangunan tenaga kerja luar bandar melalui TVET dan pembiayaan khusus di bawah TVET Madani akan mencorak generasi agropreneur muda dan teknokrat tempatan, sejajar dengan aspirasi RMK13 untuk menjana 1.2 juta peluang pekerjaan menjelang 2030, termasuk dalam ekonomi digital dan pertanian pintar.
“RMK13 adalah satu titik tolak yang penting untuk Sabah bukan sahaja sebagai penerima pembangunan, tetapi sebagai pemangkin pertumbuhan baharu negara,” katanya lagi.
Bung turut menggesa Kerajaan Negeri untuk bertindak lebih proaktif dalam usaha menyelaras strategi negeri seiring dengan RMK13.
“Kerajaan Negeri Sabah bertindak lebih proaktif menyelaras strategi negeri dengan RMK13 secara substantif, agar peluang yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Sabah,” ujar beliau lagi.
