Rakyat Sabah perlu pertumbuhan ekonomi mikro: Pemuda UMNO

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim memberitahu bahawa pencapaian ekonomi bersifat makro tidak boleh dijadikan cermin kejayaan mutlak, selagi rakyat di bawah masih bergelut dengan tekanan hidup yang tidak surut.

“Rakyat perlu pertumbuhan ekonomi mikro kerana rakyat di bawah, realitinya masih bergelut untuk menyara diri dan kehidupan sekeluarga.

“Pengumuman Kerajaan Negeri bahawa output ekonomi Sabah mencecah RM84.3 bilion dan nilai perdagangan melepasi RM100 bilion selama tiga tahun berturut-turut sememangnya kelihatan mengagumkan di atas kertas.

“Namun begitu, angka besar tidak bermakna jika ia sekadar menjadi alat persembahan politik tanpa jejak manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam konteks pembangunan moden, kejayaan ekonomi mesti diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang diperolehi rakyat sekaligus kedudukan ekonomi rakyat meningkat.

“Misalnya, penciptaan pekerjaan yang stabil, akses pembiayaan yang adil kepada PMKS, serta peningkatan taraf hidup yang dapat dirasai di peringkat desa dan pedalaman.

“Sebaliknya, rakyat terus melihat pertumbuhan ekonomi dari kejauhan seolah-olah kemakmuran yang diwar-warkan hanya berlegar di bilik mesyuarat, bukan di kedai runcit, ladang kecil, atau dapur rumah rakyat biasa. PMKS terus terpinggir, pengangguran belia masih membelenggu, dan infrastruktur luar bandar kekal ketinggalan,” katanya lagi.

Sufian menyeru agar Kerajaan Negeri mempertimbang semula segala usaha pembangunan ekonomi agar impak kejayaan mampu dinikmati oleh rakyat.

“Langkah terbaik adalah Kerajaan Negeri fikir semula faedah sebenar kepada tenaga kerja tempatan dan indikator impak sosial yang digunakan untuk menilai keberkesanan hala tuju ekonomi kerana yang lebih penting ialah dasar yang berpijak di bumi nyata yang menyentuh kehidupan seharian rakyat dan membina masa depan bersama secara menyeluruh,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen