Perpaduan teras kekuatan Sabah: Hajiji

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru semua pihak untuk terus berusaha memelihara keharmonian dan perpaduan kaum di Sabah.

Katanya, perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama menjadi kunci utama kepada kekuatan dan kemakmuran di Sabah.

“Penting untuk kita terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.

“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah dan ini adalah keunikan yang harus kita banggakan dan pelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, setiap individu bertanggungjawab menjadikan ruang seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan ruang digital sebagai wadah memperkukuh persefahaman dan patriotisme.

“Kita mahu semai semangat patriotik dan kukuhkan kesepakatan, bukan menyemai perpecahan, kerana itu, saya ingin mengajak semua rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja sebagai simbol kesetiaan dan semangat cintakan negara.

“Pelancaran ini bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi satu seruan untuk kita menghayati makna sebenar kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kemiskinan dan perpecahan,” katanya lagi.

Tambah beliau, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan setiap Ogos adalah detik bersejarah untuk mengenang perjuangan nenek moyang mempertahankan tanah air dan maruah bangsa.

Dalam pada itu, Hajiji juga menjelaskan bahawa setakat Mei 2025, Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 telah mencatat pencapaian memberangsangkan dengan purata pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.

“Antara sektor yang terus menjadi keutamaan ialah pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Selain itu, usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar juga turut termasuk dalam Hala Tuju SMJ 1.0,” jelasnya lagi.

Tambah Hajiji lagi, pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Tinggalkan komen