Kebakaran musnahkan 26 rumah di Kampung Kurnia Jaya

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Sebanyak 26 rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Kurnia Jaya di sini pagi tadi, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.37 pagi melalui MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.

“Jentera bomba tiba di lokasi pada pukul 9.48 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan 25 buah rumah jenis tidak kekal serta sebuah rumah separuh kekal yang terbakar sepenuhnya. 

“Sebuah motosikal juga dilaporkan musnah dalam insiden itu,”katanya.

Komander Operasi, PBK I Jehrey Ibno bersama Komander Operasi Kanan, PPgB Madzlan Sharman mengetuai seramai 39 anggota bomba, selain dibantu tujuh anggota Bomba Komuniti.

Beberapa agensi lain turut terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan lapan anggota, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dua anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tujuh anggota dan empat kakitangan Sabah Electricity.

Pasukan bomba menggunakan teknik ofensif dan defensif untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan sekitar. Pemadaman dilakukan dengan satu aliran sepanjang 300 kaki, dua aliran 200 kaki dan satu pam angkut menggunakan sumber air terbuka selain bekalan air daripada tangki jentera bomba.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.14 pagi dan operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi selepas pemeriksaan dibuat bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya di lokasi.

Sebanyak 1,300 buah rumah di kawasan berhampiran berjaya diselamatkan manakala semua penghuni rumah terbabit sempat keluar menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

Tinggalkan komen