Ibu Zara tidak ada kena mengena: Peguam

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menafikan andaian dan tuduhan berkenaan kematian arwah Zara Qairina ada kaitan dengan ibunya.

“Tuduhan yang dilemparkan pada ibunya, Noraidah Lamat adalah tidak benar, ini fitnah jahat dan tidak ada sebarang ‘plot twist’ dalam kes ini.

“Kami peguam yang mewakili anak guam kami menafikan tuduhan ini dan kami ingin menasihati semua pihak untuk tidak membuat fitnah kepada sesiapa saja, berkaitan kematian arwah Zara,” katanya dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Mereka juga meminta agar orang ramai yang mempunyai maklumat datau info berkaitan kematian arwah Zara agar tampil membantu siasatan pihak polis.

“Jika ada yang mempunyai maklumat kes untuk bantu siasatan polis, boleh tampil dan salurkan maklumat tersebut kepada polis atau kami.

“Kami ingin berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menyebar luas tentang kes arwah Zara bagi tujuan mencari keadilan.

“Terima kasih untuk semua keprihatinan kepada anak guam kami yang sudah kehilangan anaknya pada 17 Julai lalu,” katanya lagi.

Arwah Zara Qairini, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah agama di Papar, ditemui terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah pada 16 Julai lalu.

Arwah Zara kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian.

Tinggalkan komen