Oleh: Sumayyah Rihanna
KUNAK: Pembangunan Bandar Baharu Kunak dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di daerah ini sekali gus menyumbang kepada kemajuan Sabah dalam jangka panjang.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembinaan bandar moden itu merupakan langkah bersejarah buat Kunak apabila bakal menjadi pusat pertumbuhan baharu yang lengkap serta strategik.
Beliau berkata, projek berimpak tinggi yang akan dibangunkan secara berfasa dalam tempoh lima hingga 15 tahun itu diyakini mampu mengubah landskap Kunak selain membuka pelbagai peluang ekonomi dan pelaburan.
“Saya tertarik dengan perancangan yang dibentangkan oleh pihak konsultan kerana ia bukan sahaja membina bandar moden, malah menjadi teras baharu kepada pelbagai aktiviti ekonomi di Kunak.
“Kita yakin bandar baharu ini akan membuka lebih banyak ruang untuk Kunak bergerak maju seiring bandar-bandar lain di Sabah,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Bandar Baharu Kunak di sini, pada Khamis.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif dan Pengarah Amazing Synergy Realty Sdn. Bhd., Chia Seong Pow.
Masidi berkata, lokasi projek yang berdekatan Lebuhraya Pan Borneo memberi kelebihan besar kepada Kunak sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu, terutama dalam menghubungkan daerah ini dengan bandar utama seperti Kota Kinabalu.
Katanya, keyakinan pelabur terhadap potensi Kunak turut terserlah apabila Amazing Synergy Realty Sdn. Bhd. memilih daerah itu sebagai lokasi pelaburan utama mereka.
“Pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah pengguna Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan ini turut mendapat kemudahan daripada projek ini,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan bandar baharu itu juga diyakini mampu merancakkan sektor pelancongan Kunak yang sebelum ini kurang diberi perhatian walaupun memiliki pelbagai produk pelancongan berpotensi.
“Kunak masih kekurangan kemudahan penginapan dan infrastruktur pelancongan. Dengan pembangunan ini, kita yakin pihak pemaju akan menyediakan kemudahan yang lengkap untuk merangsang sektor tersebut.
“Selain itu, projek ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada industri lain seperti pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan,” katanya lagi
Beliau menambah, dengan rangkaian lebuh raya yang lebih cekap, hasil pertanian dari Kunak boleh dipasarkan ke kawasan lain termasuk Kota Kinabalu dalam tempoh lebih singkat.
Masidi turut menekankan pembangunan di daerah kecil seperti Kunak yang mempunyai populasi sekitar 65,000 hingga 68,000 orang memerlukan pendekatan berbeza namun tetap memberi impak besar jika dilaksanakan dengan strategi yang tepat.
“Pertumbuhan ekonomi negeri bukan hanya bergantung kepada bandar besar tetapi juga daerah-daerah seperti Kunak yang sumbangannya, walaupun berskala kecil, tetap memberi impak kumulatif kepada Sabah secara keseluruhan,” katanya.
