Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Seramai 11 lelaki warga Pakistan yang dipercayai pendatang tanpa izin (PTI) ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dalam Operasi Sapu yang dijalankan di sini, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua individu terbabit ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah.
Selain itu, katanya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Tawau untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Siasatan awal mendapati mereka mendakwa mempunyai pas jaminan pasangan kepada warganegara, manakala seorang lagi mendakwa memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja di Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Bagaimanapun, jelasnya, hasil siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dilakukan.
Menurut Sitti Saleha, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
“Orang awam juga digesa untuk terus menyalurkan maklumat berhubung PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen sah supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya.
