Ugut bapa dengan parang lepas beri pinjam gitar

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila sanggup mengugut untuk membunuh bapanya sendiri dengan parang hanya kerana berang gitar miliknya dipinjamkan kepada sepupu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.15 petang kelmarin di Kampung Jawa, Jalan Segama di sini apabila suspek berusia 41 tahun mengamuk selepas mendapati gitar kesayangannya dipinjamkan oleh bapanya.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak agresif dengan membawa sebilah parang sebelum mengugut bapa kandungnya yang berusia 75 tahun.

Pihak polis yang menerima laporan segera melancarkan Op Cantas pada pukul 11 malam hari sama sebelum suspek berjaya ditahan bersama parang yang digunakan.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif Metafetamin dan Amfetamin selain mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan.

Menurut Dzulbaharin, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tinggalkan komen