Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Pengamal media khasnya wartawan diseru untuk memanfaatkan kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI) khasnya dalam tugasan harian penerbitan berita.
Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin berkata era digitalisasi masa kini memerlukan para wartawan untuk meningkatkan keupayaaan dan mengadaptasi teknologi dalam tugasan harian.

“Kini, dunia semakin mencabar dan pengamal media mesti mempunyai keupayaan dan mengadaptasi teknologi terkini kerana ini adalah kunci untuk terus kekal relevan dan maju ke hadapan.
“Pihak IPPTAR akan sentiasa berusaha untuk memberi nilai tambah yang signifikan kepada kemahiran dan pengetahuan para wartawan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis Penutupan Kursus Smart Journalism: AI Tools for Faster, Smarter Reporting, di sini, hari ini.
Kursus itu berlangsung selama tiga hari bermula Selasa (29 Julai) dan disertai oleh 25 pengamal media daripada pelbagai agensi, seluruh negeri Sabah.
Menurut Roslan, penjanaan idea, penulisan draf, transkripsi audio, dan analislis data kompleks yang dipelajari dengan memanfaatkan aplikasi AI dalam kursus itu adalah alat bantu yang revolusioner.
“Sepanjang tiga hari kursus, anda semua didedahkan dengan pelbagai alatan AI untuk membantu tugas-tugas kewartawanan menjadi lebih pantas, efisien dan berimpak.
“Inilah yang IPPTAR usahakan untuk kita terus menyebarluas ilmu kewartawanan dan teknologi kepada lebih ramai pengamal media di seluruh negara.
“Anda semua perlu terus belajar dan meningkatkan pengetahuan diri kerana landskap media semasa semakin berkembang,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Roslan ketika ditemui pemberita selepas majlis juga berkongsi bahawa IPPTAR akan terus memberi ruang kepada pengamal media khususnya di Sabah untuk menyertai lebih banyak program ilmiah bagi tujuan perkembangan bidang kewartawanan tempatan.

Katanya, cabaran terbesar yang menjadi pesaing kepada pengamal media masa kini adalah penyebaran berita palsu.
“Cabaran yang sengit sekarang adalah berita palsu dan sebagai pengamal media yang beretika, pastinya kita kena elakkan daripada terjebak dengan pelaporan berita palsu dan menjalankan tanggungjawab sebagai pengamal media yang berdedikasi.
“Sabah lagi sekarang, semua sibuk kerana bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal tiba tidak lama lagi, jadi memang wartawan semua sibuk mengejar berita, maka aplikasikanlah semua ilmu AI yang dipelajari ini untuk membantu anda menghasilkan sebuah laporan berita yang baik namun berpegang kepada prinsip dan etika,” ujar beliau lagi.

Kursus dikendalikan oleh tenaga pengajar, Irin Putri Azmi.
