Festival kebudayaan rumpun Bajausama Sabah 2025 fokus tonjol kekayaan budaya

KOTA KINABALU: Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 bakal berlangsung dengan penuh warna-warni budaya dan kesatuan rakyat Sabah selama empat hari bermula 7 hingga 10 Ogos 2025 bertempat di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.

Naib Presiden Persatuan Bajausama Sabah, Datuk Japlin Akim menjelaskan bahawa festival itu bertujuan menjadi platform pemerkasaan warisan, selain mengukuhkan perpaduan antara kaum dan etnik di negeri ini.

“Festival ini akan mengetengahkan kekayaan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Bajausama yang unik dan menarik. Ia juga selaras dengan usaha untuk mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Japlin, festival itu akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Pelbagai program dan aktiviti menarik akan diadakan sepanjang festival, antaranya seperti pameran dan jualan produk kraftangan, pertandingan Ratu Serimpak, demonstrasi dan pameran citarasa warisan Sabah, pertandingan betitik, pertandingan fotografi digital makanan, aktiviti komuniti dan bengkel.

“Program ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, bangsa, agama dan fahaman politik,” katanya lagi.

Jelas Japlin, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah akan turut menganjurkan Festival Cita Rasa Warisan @Sabah 2025 bersempena festival itu.

“Antara tarikan utama ialah demonstrasi masakan tradisional oleh chef-chef terkenal negara.

“Penganjuran festival ini dapat membuka ruang kepada rakyat untuk saling mengenali dan menghormati budaya antara satu sama lain, sekaligus memperkukuh semangat toleransi dan perpaduan melalui warisan budaya yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

“Festival ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, umur atau agama,” katanya.

Japlin turut mengajak orang ramai untuk hadir memeriahkan festival itu sekaligus mempelajari serta memperkasa pengetahuan berkenaan etnik Bajausama.

“Kehadiran rakyat Malaysia dari seluruh negara amat dialu-alukan untuk turut serta memeriahkan acara ini.

“Orang ramai juga berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti berfaedah seperti bengkel seni, sesi pembelajaran budaya dan demonstrasi masakan warisan.

“Maklumat lanjut mengenai festival ini boleh diperoleh melalui saluran rasmi di

laman media sosial Facebook Jabatan Penerangan Sabah, Facebook & TikTok Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), RTM, Bernama serta media tempatan lain,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen