Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Polis memanggil 60 individu termasuk tiga nama yang tular kerana pendedahan di media sosial baru-baru ini berkenaan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, adik Zara Qairina di sebuah sekolah berasrama di Papar.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, polis sudah selesai merakam percakapan dan keterangan daripada 60 saksi yang terdiri daripada pelajar, kakitangan sekolah, dan ibu bapa.
“Sekarang kertas siasatan sudah dibawa ke Bukit Aman untuk penelitian akhir, sebelum kes ini dirujuk oleh Jabatan Peguam Negara dan kita serahkan kepada Bukit Aman.
Jauteh berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir dalam Majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.
Menurut Jauteh, siasatan kes itu kini memfokuskan kepada dua aspek utama iaitu punca kematian arwah dan keadaan persekitaran.
“Kita tidak menolak sebarang kemungkinan yang wujudnya unsur buli, berdasarkan kepada siasatan yang kita jalankan untuk kes ini.
“Saya ingin memberitahu bahawa anak saya tidak pernah bersekolah di sekolah itu dan tuduhan melulu yang dibuat oleh netizen seperti ini adalah tidak sihat.
“Saya tidak mengetahui secara terperinci jika ada anak orang kenamaan atau wakil rakyat yang bersekolah di situ kerana ramai pelajar di sana,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Jauteh turut menjelaskan bahawa siasatan kes itu dijalankan dengan penuh profesionalism dan telus.
“Kes ini melibatkan pelajar yang sedang melalui tekanan emosi, netizen mahu siasatan telus, menyeluruh dan kerana itulah kita perlu ambil sedikit masa untuk siapkan kesemuanya kerana ia melibatkan 60 saksi dan bukan semua dibawa secara terus.
“Kena fikir juga, kerana saksi-saksi ini pelajar sekolah yang mungkin mereka cuma mendengar atau melihat atau berkawan dengan mangsa, dan kalau siasatan kita tidak profesional, ini pastinya memberikan trauma kepada mereka di saat ini.
“Untuk itu, kita siasat secara profesional dan adil untuk semua saksi, kena jaga juga hal berkaitan emosi,” katanya lagi.
Selain itu, Jauteh juga berkongsi bahawa pihaknya sudah menghantar satu pasukan khas daripada IPK bagi tujuan siasatan kes hingga mengambil masa beberapa hari bagi tujuan menyiapkan kertas siasatan.
“16 Julai kejadian berlaku dan 17 Julai, arwah meninggal dunia.
“Saya sudah bincang dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkaitan dengan kes ini dan pada 18 Julai, beliau telah menghantar satu pasukan khas daripada pihak IPK untuk membantu siasatan ke atas kes ini sehinggalah mengambil beberapa hari untuk menyiapkan kertas siasatan.
“Kita juga dibantu oleh pakar kaunseling bagi membolehkan saksi-saksi kes memberi kerjasama dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya, dan saya juga ingin memaklumkan bahawa kertas siasatan ini sudah dihantar ke Bukit Aman bagi tujuan penelitian menyeluruh,” ujar beliau lagi.
Tular di media sosial tiga nama yang dikaitkan dengan kematian arwah Zara Qairina iaitu ‘Kak Dedeng’, ‘Kak Wana’ dan ’Tomboi’.
