Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai memperdaya seorang pengawal keselamatan untuk meminjam motosikal akhirnya tumpas selepas diberkas polis di Tawau awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur lingkungan 20an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau sekitar pukul 12.31 pagi berhampiran Jalan Bunga.
“Siasatan awal mendapati suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dipercayai menipu mangsa yang bertugas di sebuah Sekolah Kebangsaan di Semporna dengan alasan mahu meminjam motosikal rakan sekerja mangsa.
“Bagaimanapun, kerana rakan sekerjanya belum sampai, suspek meminta untuk meminjam motosikal milik mangsa sendiri sekitar pukul 9.30 pagi.
“Mangsa tanpa syak menyerahkan kunci motosikal jenis Modenas tetapi kenderaan itu tidak dipulangkan,” katanya.
Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Semporna malam 29 Julai sebelum pasukan BSJ IPD Tawau berjaya mengesan suspek dan merampas motosikal berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
Jasmin menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah menyerahkan barangan peribadi kepada individu tidak dikenali bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
