Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan kerjasama GRS bersama Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang bukan keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa.
Beliau berkata, hala tuju gabungan tersebut telah dibincang secara terbuka sebelum ini dan kini perincian terakhir sedang dilakukan demi kepentingan Sabah.
“Kita sudah nyatakan pendirian Kerajaan Negeri dan mesyuarat berjalan baik. Sekarang hanya perhalusi perkara berkaitan untuk kebaikan Sabah,” katanya.
Ketua Menteri Sabah itu juga menolak dakwaan bahawa keputusan tersebut dibuat tanpa berbincang dengan parti komponen lain.
“Saya akan panggil mesyuarat nanti, belum masanya sekarang. Di peringkat GRS, Presiden parti sudah berbincang. Jangan terlalu dengar cakap orang, di Sabah ramai ‘pakar politik’,” katanya.
Hajiji berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan Petco Trading Labuan Company Ltd serta Memorandum Perjanjian (MoA) antara DBKK dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) di Pacific Sutera Harbour, di sini hari ini.
Ahad lalu, Hajiji yang juga Presiden GRS menegaskan pendirian parti itu untuk bekerjasama dengan PH Sabah pada PRN17 akan datang.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam memaklumkan, pakatan Barisan Nasional (BN) dan PH Sabah juga telah dimuktamadkan bagi menghadapi PRN17.
