Isu kematian adik Zara Qairina: AWS desak siasatan telus, keselamatan pelajar diutamakan

KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Aspirasi Wanita Sabah (AWS) Marlina Madjid menyeru pihak bertanggungjawab untuk bertindak telus dan mengambil tindakan sewajarnya berkenaan kes kematian arwah Zara Qairina Mahathir baru-baru ini.

“Pemergian remaja muda itu bukan sekadar tragedi peribadi tetapi mencerminkan kelemahan sistem perlindungan pelajar di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.

“AWS memandang serius laporan yang mengaitkan unsur buli, kecuaian atau penganiayaan dalam kes ini. Kelewatan tindakan dan siasatan yang masih kabur selepas hampir dua minggu turut menimbulkan keresahan mendalam dalam kalangan ibu bapa di Sabah dan seluruh negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti bertindak dengan telus dan adil, tanpa cuba melindungi mana-mana individu atau institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, semua pihak di sekolah termasuk guru, warden, pentadbiran asrama dan pengurusan sekolah mesti dipanggil serta disoal siasat secara menyeluruh bagi memastikan tiada fakta disembunyikan.

“Jika kes seperti ini tidak dibela dengan keadilan, ia hanya membuka ruang kepada budaya buli dan penganiayaan berulang hingga lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa.

“Ibu bapa kini semakin bimbang untuk menghantar anak ke sekolah berasrama kerana khuatir keselamatan dan kebajikan mereka tidak terjamin sepenuhnya,” katanya lagi.

Beliau menyeru pihak berwajib agar menjadikan tragedi itu pengajaran besar untuk mereformasi sistem perlindungan pelajar, terutamanya di sekolah berasrama.

“Jangan biarkan adik Zara hanya menjadi statistik. Jadikan pemergiannya pemangkin perubahan. Segala bentuk buli, penderaan atau penganiayaan wajib ditangani dari akar umbi dengan dasar yang jelas dan penguatkuasaan yang tegas,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen