Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Penantian puluhan tahun penduduk Pulau Bum-Bum untuk kemudahan pengangkutan lebih selamat bakal berakhir apabila perkhidmatan feri khas dijangka mula beroperasi tidak lama lagi.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulayaban, Datuk Abd Hajan Gurimbang berkata, feri berkenaan kini berada pada peringkat akhir persiapan sebelum dilancarkan secara rasmi bagi memudahkan penduduk berulang-alik ke Semporna.
“Di bawah kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Sabah, perkhidmatan feri ini dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara sementara menunggu projek jambatan Pulau Bum-Bum dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau tapak dan membincangkan pembinaan pangkalan feri di Semporna, hari ini.
Selama ini, penduduk terpaksa bergantung pada bot kecil untuk mengangkut barangan dan kenderaan dari tanah besar ke pulau itu, sekali gus mengundang risiko keselamatan.
Pekerja swasta, Rosdi, berkata feri mampu mengurangkan risiko kemalangan di laut.
“Kadang-kadang bahaya kalau guna bot kecil. Kalau guna feri, perjalanan lebih terjamin,” katanya.
Bagi peniaga tempatan, Mahamod Bungsu, kemudahan feri ini sedikit sebanyak melegakan selepas projek jambatan yang dirancang sejak 2012 masih belum menjadi kenyataan.
“Dulu banyak kali diumumkan, tapi sampai sekarang tak nampak jambatan.
“Feri ini sekurang-kurangnya dapat mudahkan urusan kami,” katanya.
Turut hadir semasa lawatan tapak itu ialah wakil Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, JKR Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Daerah Semporna dan beberapa agensi berkaitan.
Untuk rekod, projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer dengan kos dianggarkan RM430 juta pernah diumumkan lebih sedekad lalu tetapi belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Pada 2022, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkhidmatan feri akan dilaksana lebih awal bagi memenuhi keperluan penduduk sementara menunggu jambatan dibina.
