Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Lima lelaki termasuk tiga penjawat awam diberkas polis dalam serbuan Op Tapis di Taman Harapan, Jalan Silam, semalam.
Polis menemui syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum, 8.2 liter ubat batuk serta sebilah pedang samurai dan enam parang dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11,655.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, seorang suspek didapati positif dadah jenis Metafetamin dan Amfetamin, manakala empat lagi negatif.
Kesemua suspek berusia 24 hingga 38 tahun kini direman.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Senjata Berbahaya 1958.
Polis menegaskan tindakan membanteras jenayah dadah akan diteruskan dari semasa ke semasa.
