Perlu lebih ramai pemimpin wanita tanding PRN17: Ramlah

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pitas, Ramlah Nasir mencadangkan agar lebih ramai pemimpin wanita diberi peluang untuk bertanding dan menjadi calon dalam Pilihan raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kita perlu wanita yang berani, berwibawa dan lantang untuk diberi peluang menjadi calon dan antara yang terbaik untuk mewakili suara akar umbi Wanita Gagasan Rakyat dari seluruh negeri adalah Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda.

“Ini adalah usul utama yang dikemukakan semasa perbahasan ucapan dasar Presiden semasa Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini,” katanya dalam sebuah kenyataan media, di sini hari ini.

Menurut Ramlah, pergerakan Wanita Gagasan Rakyat juga menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

“Kepimpinan Hajiji sudah terbukti membawa perubahan ketara dalam pentadbiran negeri dan pembangunan ekonomi negeri Sabah.

“Ini termasuk usaha memperkasa peranan wanita melalui pelbagai program dan inisiatif kerajaan seperti peruntukan yang diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) yang mana membantu memacu kejayaan dalam penghasilan program seperti Akademi Kepimpinan Wanita Sabah (AKWAN), di bawah Majlis Penasihat Wanita Sabah.

“Program ini berjaya melahirkan ramai pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang seperti politik, akar umbi, belia serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya lagi.

Selain itu, semasa ucapan dasar, Ramlah turut membawa usul sokongan penuh agar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah dikekalkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita harap ADUN Pitas sekarang terus dikekalkan sebagai calon untuk kerusi Pitas bagi PRN17 kelak kerana beliau sudah mempamerkan rekod prestasi cemerlang dalam memperjuangkan kebajikan rakyat di kawasan,” ujar beliau lagi.

 

Tinggalkan komen