Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Exco Wanita Pusat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Lailawati Datuk Ahmad Bahrom Titingan menegaskan bahawa media sosial adalah platform yang memberi pengaruh serta impak sosial dalam perkembangan politik semasa dalam negeri.
Katanya, kuasa media sosial dalam menyebarkan maklumat politik semasa adalah lebih pantas dan berkesan serta mampu dicapai oleh semua audiens di seluruh pelusuk negeri.
“Dulu, kalau kita mahu sampaikan sesuatu berita, kita tulis surat, tunggu posmen datang, kadang-kadang seminggu baru sampai, tapi hari ini, dengan satu tekan di telefon bimbit, berita boleh sampai bukan saja ke kampung seberang bukit, tapi ke seluruh dunia ,dalam masa lima saat saja.
“Kalau dulu kita menjerit di pentas ceramah untuk didengar oleh 500 orang, hari ini cukup dengan satu video 30 saat di TikTok, suara kita boleh didengar oleh 500,000 orang.
“Bahkan, kalau bijak buat kandungan, lima juta orang pun boleh capai kerana media sosial sangat berkuasa, ‘tajam’, pantas dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perbahasan usul dalam Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.
Menurut Lailawati, penggunaan media sosial perlu dimanfaatkan dan diamalkan secara berhemah.
“Media sosial bukan sekadar ruang untuk kita memperoleh kepuasan dengan melihat kandungan hiburan semata-mata tapi media sosial adalah satu ruang untuk kita berkongsi maklumat serta informasi yang sewajarnya kita gunakan dengan betul, kerana platform ini adalah platform yang boleh menjadi ruang perjuangan, pembentukan persepsi dan media bersoal jawab serta menyalurkan fakta.
“Majoriti pengguna media sosial didominasi oleh generasi muda yang kelak bakal menjadi pewaris kepada tampuk pemerintahan hari ini, namun seboleh-bolehnya, dan memperhebat kemahiran serta penggunaan media sosial kita supaya apa yang dikongsikan mampu memberikan impak yang berguna kepada audiens,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan beberapa usul termasuk penubuhan Akademi Latihan Gagasan Rakyat yang berfungsi untuk melatuh jentera supaya celik teknologi semasa dan mampu memupuk kecekapan dalam menghasilkan kandungan.
“Seterusnya ialah perlu ada strategi dalam penyaluran maklumat berasaskan fakta, termasuk memfokuskan kepada usaha-usaha dan kejayaan Kerajaan Negeri yang ditadbir oleh Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sekaligus memberi kefahaman kepada akar umbi.
“Akhir sekali, perlu ada penegasan dalam usaha menyampaikan naratif melawan fitnah digital, dan ini yang sangat penting kerana inilah tugas kita sebagai ahli parti, kita perlu ceritakan kepada akar umbi apa yang kerajaan lakukan, kita jelaskan kepada mereka apa perjuangan parti kita untuk negeri Sabah dan rakyat Sabah,” katanya lagi.
