Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah merangkap Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Kawang, Fahzean Mohiddin menyeru semua ahli parti untuk meletakkan keyakinan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sebagai peneraju kepada tampuk pemerintahan negeri bagi memastikan pembangunan mampan dan progresif serta usaha memperjuangkan hak-hak Sabah dapat terus dilaksanakan.
Katanya, kestabilan politik yang diterajui oleh kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS)- Pakatan Harapan (PH) telah membuktikan dasar-dasar inklusif dan responsif terhadap aspirasi rakyat dilaksanakan.
“Demi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya di Sabah, kita lihat apa yang sudah dilakukan oleh tampuk pemerintahan GRS-PH sekarang, terbukti pelbagai dasar inklusif dan responsif dilaksanakan, walaupun suatu ketika dulu, kerajaan ini pernah digoyahkan dengan satu langkah pincang iaitu Langkah Kinabalu.
“Dan pastinya, aspek utama yang ingin saya tekankan dalam usul saya seterusnya adalah keperluan untuk memperkukuh perpaduan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pemimpin, pastinya juga disertakan dengan kesedaran tentang kepentingan menjunjung semangat setia dalam mempertahan kestabilan negeri.
“Usul telah dipersembahkan. Seruan dan sokongan telah dilafaz. Maka dalam arena ini, berdasarkan keputusan dan komitmen semua perwakilan, Persidangan Agung Tahunan telah memutuskan secara tuntas bahawa kita Menyokong sepenuhnya Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Presiden Gabungan Rakyat Sabah, dan Ketua Menteri Sabah, dalam mempertahankan Kerajaan Negeri serta membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Persidangan Agung Tahunan Wanita Gagasan Rakyat 2025, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Menurut Fahzean, ahli parti dan barisan kepimpinan di semua peringkat juga harus memainkan peranan dalam usaha memperkukuh perpaduan.
“Kita mesti lebih serius dalam usaha memperkasa organisasi parti serta menangkis segala bentuk fitnah dan dakyah jahat yang bertujuan melemahkan kekuatan Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah.
“Kita berkumpul dalam persidangan ini bukan sekadar acara, tetapi ini adalah medan untuk mengatur langkah untuk menguatkan hala tuju perjuangan dalam era serba mencabar ini, lebih-lebih saat genting bila bakal berdepan dengan PRN Sabah ke-17, tidak lama lagi.
“Penting untuk kita memperkasa solidariti parti dan mempertahan kekuatan GRS agar kesinambungan pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah terus terpelihara dan terjamin,” katanya lagi.
