GRS tidak pegang prinsip: Datu Rosman

KOTA KINABALU: Pengarah Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman menyatakan bahawa Gagasan Rakyat Sabah (GRS) adalah parti yang tidak berpegang kepada prinsip dan terpalit dengan keghairahan mengejar kelangsungan kuasa.

“GRS sendiri yang terpalit kerana terlalu ghairah mengejar kelangsungan kuasa tanpa prinsip.

“Apabila penyokong GRS mula menyerang BN Sabah sebagai “gelabah” atau “panik”, mereka sebenarnya sedang menunjukkan ketakutan sendiri, bimbang kerjasama ini akan membuka pekung sebenar, bahawa GRS bukan lagi gabungan solo tetapi hanya sekadar boneka dalam percaturan pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, gabungan politik yang dibina dengan asas kebimbangan terhadap kehilangan kuasa adalah sebuah langkah panik.

“Secara asas sains politik, gabungan politik yang dibina di atas kegentaran kehilangan kuasa (electoral desperation) bukanlah strategi, tetapi langkah panik.

“Kerjasama ini tidak akan menyelesaikan krisis keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri malah hanya akan menambah sinisme politik kerana rakyat tahu ini bukan “unity of vision”, tetapi “unity of survival”.

“Sindiran Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar bukan tanda ketakutan, tetapi satu isyarat yang berani bahawa UMNO Sabah tidak akan tunduk kepada politik yang mengorbankan prinsip dan walaupun pahit untuk diterima, ini realiti, GRS yang dulunya lantang dengan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” hari ini sedang hanyut dibawa arus manipulasi politik pusat, kononnya demi kestabilan tetapi realitinya demi kesinambungan kedudukan dan kuasa,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mengulas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang menyeru semua pihak untuk memulihkan kembali idealisme politik Sabah.

“Kita tidak takut kepada kerjasama mana-mana parti sebaliknya lebih prihatin dengan kesan buruk kepada masa depan negeri khususnya apabila kerajaan dibentuk tanpa mandat jelas, dan atas dasar kepentingan elit semata-mata.

“Kalau benar kerjasama ini demi rakyat, kenapa tidak dilakukan secara inklusif? Kenapa tidak runding secara terbuka, malah tergesa-gesa membuat pengumuman tanpa hala tuju jelas?

“Apabila BN Sabah mengkritik, ia bukan kerana takut ditinggalkan tetapi kerana kami tidak mahu Sabah terus hanyut dalam kancah eksperimen politik yang gagal,” katanya.

Tinggalkan komen