Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Belia merupakan harapan negara dan pewaris budaya yang menjadi tonggak kelangsungan adat masyarakat Idahan.
Prihatin akan peranan penting golongan muda, Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) telah mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Mobile Legend buat pertama kalinya bagi menghimpunkan belia Idahan dari seluruh kampung di sekitar Lahad Datu, semalam.
Pertandingan yang diadakan di Dewan Kampung Sapagaya itu dirasmikan oleh Presiden PEIS, Abdul Karim Dakog.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat belia dalam dunia e-sukan, malah menjadi medium memupuk semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Idahan.
“Belia adalah harapan negara dan penyambung perjuangan warisan budaya dan adat pada masa hadapan.
“Pertandingan Mobile Legend ini berjaya menghimpunkan belia Idahan dari pelbagai kampung untuk beraktiviti secara sihat, selain mengeratkan silaturahim antara ahli PEIS dari seluruh daerah,” katanya.
Sebanyak 16 kumpulan yang melibatkan seramai 96 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.
Abdul Karim turut berharap agar usaha ini diteruskan sebagai langkah mendekatkan belia dengan aktiviti bermanfaat yang mampu membina jati diri mereka.
“Saya ingin ucapkan terima kasih juga kepada semua pihak yang terlibat termasuk AJK,” katanya lagi.
Beliau menegaskan PEIS sentiasa komited mendukung apa sahaja inisiatif untuk memartabatkan belia Idahan seiring perkembangan teknologi moden seperti e-sukan.
