Oleh: Zacherlyn Ad
RANAU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF), untuk meluaskan akses pembelian barang keperluan asas bagi penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“KPDN mencadangkan agar bantuan SARA juga digunakan untuk pembelian di Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bergerak, selain daripada pembelian di premis perniagaan yang sedia ada.
“Setakat ini penerima SARA cuma boleh membeli barangan keperluan asas di 4,152 premis pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara, termasuk 470 premis di negeri ini.
“Inisiatif ini memberi ruang kepada penerima SARA khasnya yang berada di luar bandar dan pedalaman bagi membuat pembelian menggunakan bantuan SARA yang disimpan dalam MyKad di lokasi-lokasi PJRM bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival KPDN 2025 Zon Sabah di sini, malam tadi.
Tambah Armizan, melalui peruntukan tambahan RM300 juta bagi PJRM, KPDN sekaligus mampu untuk meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara.
“Untuk ini kita sasarkan sebanyak 20,000 siri pelaksanaan sepanjang tahun 2025.
“Untuk Sabah, kita sasarkan sebanyak 2,276 siri PJRM untuk 2025, setakat 26 Julai 2025, sudah 1,089 siri PJRM dilaksanakan.
“Kita akan melaksanakan beberapa lagi pendekatan untuk memastikan target 2,276 siri PJRM terbabit dapat dilaksanakan di Sabah tahun ini,” katanya.
Selain itu, Armizan juga memberitahu, antara pendekatan yang bakal dilaksanakan ialah menambah jumlah barangan yang ditawarkan (SKU), dan memperluas kerjasama bersama rakan strategik sektor peruncitan.
“Dengan penambahbaikan yang dilakukan, rakyat ada pilihan lebih dan ini juga kerana kita sedar bahawa kementerian tidak mampu bergerak sendirian, misalnya dalam siri PJRM hari ini, juga dilaksanakan dengan kerjasama bersama rakan peruncitan,” katanya lagi.
Tahun ini merupakan tahun kedua KPDN melaksanakan karnival itu.
Enam jelajah Karnival KPDN akan diadakan sepanjang tahun 2025.
“Karnival KPDN dengan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang diadakan di Ranau, adalah siri kedua yang dilaksanakan tahun ini.
“Program ini berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini dan dijangka bakal dikunjungi oleh lebih 60,000 pengunjung,” jelasnya lagi.
