Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal tiba tidak lama lagi.
“Kita sudah berbincang dan formula jalinan kerjasama ini kita jangka akan beri impak, cuma kita belum buat perincian lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang media selepas hadir dalam Persidangan Agung Induk Gagasan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud semasa ditemui pemberita dalam majlis yang sama berkongsi bahawa persetujuan untuk bekerjasama bagi PRN17 itu sangat dialu-alukan oleh PH.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana menghargai kerjasama GRS dengan PH dan sebagai pemimpin PH, saya mengalu-alukan kerjasama ini.
“Saya fikir, ini bagus untuk orang Sabah dan apa yang perlu sekarang adalah perbincangan lebih teliti dengan GRS, dan Gagasan Rakyat.
“Seperti yang saya pernah nyatakan sebelum ini, PH ada sasaran kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mungkin dalam 23 atau 25 kerusi,” katanya.
