Saya tidak tahu apa itu pengkhianat, saya bergerak bawa aspirasi rakyat Sabah: Masidi

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masidi Manjun menyelar kenyataan sesetengah pihak yang melemparkan tohmahan sinis kepada Gagasan Rakyat sebagai parti pengkhianat.

“Saya tidak tahu apa itu pengkhianat, kita bergerak dengan bawa aspirasi rakyat negeri Sabah, kita utamakan tuntutan rakyat Sabah sebagai teras perjuangan politik.

“Kalau mahu tuduh, tuduh saya apa yang patut, rakyat yang pastikan apa yang layak untuk negeri Sabah ini.

“Apa matlamat perjuangan politik kita di Sabah ni, sebenarnya mudah, kita mahu bagi rakyat faham matlamat dan perjuangan kita,” katanya. 

Masidi (dua dari kiri) semasa merasmikan Persidangan Gagasan Rakyat 2025

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika ucapan perasmian Persidangan Gagasan Rakyat 2025 bagi sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurut Masidi, untuk membuat sebuah kritikan, sesiapa sahaja boleh tampil dan mengkritik namun usaha di sebalik membawa dan mempertahankan hak kedudukan Sabah adalah lebih penting.

“Kalau sekadar kritik, semua orang boleh kritik, burung pun boleh bercakap.

“Kita bukan sekadar mempertahankan pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tapi kita mempertahan hak dan kedudukan anak bangsa kita, serta negeri Sabah yang kita cintai.

“Jangan jadikan cita-cita peribadi sebagai penghalang kepada usaha kita, beri ruang kepada orang Sabah untuk jadi ‘master in your own company’, kita orang Sabah, kita penentu masa depan kita, apa orang mahu cakap, itu urusan mereka,” katanya. 

Dalam pada itu, Masidi juga menyeru semua perwakilan dan ahli parti untuk menyemai semangat sayang kepada negeri dengan memahami makna lagu ‘Sabah Tanah Airku’.

“Saya bercakap mengenai lagu Kebangsaan Sabah, Sabah Tanah Airku, kerana sebenarnya itulah asas, visi negeri Sabah yang telah dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin yang terdahulu dan masih relevan sampai sekarang.

“Seperti yang saya jelaskan semasa sesi ucapan saya tadi, untuk kita meneruskan pembangunan, melaksanakan dan menerapkan pemikiran berkaitan pada orang kita, kita mesti sayang kepada negeri kita,” jelas Masidi lagi.

Masidi ketika ditemui pemberita semasa sidang media

Selain itu, ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas majlis perasmian, Masidi turut menegaskan bahawa fokus utama yang perlu menjadi hala tuju adalah kestabilan politik dengan mengutamakan kelangsungan kepada usaha-usaha yang dibuat.

“Kita sering membandingkan Sabah dengan Sarawak. Tapi kalau kita mahu menjadi macam Sarawak, kita mesti ada pemikiran dan juga sikap macam orang Sarawak.

“Utamakan kestabilan politik. Utamakan continuity kepada usaha-usaha yang dibuat,” katanya. 

Tinggalkan komen