Polis Marin Sabah perkasa operasi banteras penyeludupan

Oleh: Sumayyah Rihanna

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah meneruskan komitmen membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan Pantai Timur Sabah menerusi operasi berterusan.

Dalam serbuan terbaharu di Batu 11, Sandakan pada 24 Julai lalu, PPM Sandakan bersama Unit Gempur Marin (UNGERIN) berjaya menumpaskan satu sindiket penyimpanan rokok seludup.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan ke atas sebuah rumah membongkar rampasan 332,800 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM403,200.

“Tiga lelaki warga asing berusia 31 hingga 51 tahun ditahan dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Dalam operasi berasingan di Kota Kinabatangan, maklumat awam membawa kepada rampasan 3,000 liter minyak diesel bersama dua kenderaan jenis lori dan pacuan empat roda. Anggaran nilai rampasan berjumlah RM363,840.

“Tiga lagi warga asing ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

Mohd Nazri menyeru orang ramai terus bekerjasama menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti penyeludupan di perairan Sabah.

Tinggalkan komen