Perlu gubal Akta Buli dengan segera: UMNO

KOTA KINABALU: Ketua Wanita UMNO Sabah merangkap Mantan Ahli Dewan Negara, Datuk Noraini Idris berkata Akta Buli perlu digubal dengan segera.

“Kematian adik Zara Qairina Mahathir bukan sekadar cerita sedih. Ia adalah tragedi menyakitkan terutama jika terbukti benar bahawa Zara adalah mangsa buli di sekolahnya.

“Walaupun perkara ini masih dalam siasatan pihak berkuasa, tapi dari cerita ibu mangsa, mangsa pernah mengadu kepada ibunya bahawa dia dibuli di sekolahnya.

“Tanpa undang2 khusus banyak kes buli hanya dianggap sebagai ‘salah laku disiplin’ bukan jenayah dan sudah tiba masanya penggubalan Akta Anti Buli disegerakan kerana ianya menyentuh aspek keselamatan pelajar, tanggungjawab institusi pendidikan, dan keadilan untuk mangsa,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, mangsa buli di sekolah dan asrama boleh mengalami trauma, tekanan emosi, kecederaan serius malah boleh menyebabkan kematian. 

“Dengan adanya Akta Anti Buli, mana mana pihak terlibat termasuklah sekolah, asrama atau institusi pendidikan akan dipertanggungjawabkan secara undang2 jika cuai dalam menangani atau melindungi mangsa buli atau pun cuba menyembunyikan isu buli yang berlaku di tempat pengawasan mereka. 

“Akta ini akan memberikan mesej jelas bahawa isu buli bukan kesalahan remeh, tapi jenayah serius dan tidak akan dikompromi walau dimanapun. Ia juga akan mengurangkan budaya buli senyap yang selama ini dianggap sebagai normalisasi dalam banyak institusi,” jelasnya lagi.

Katanya, pihak sekolah perlu lebih bertanggungjawab dalam menunaikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa dan kerajaan kepada mereka untuk melindungi pelajar.

“Kita tidak perlukan lagi kenyataan berbaur penyesalan. Kita perlukan tindakan segera dengan penggubalan Akta Anti-Buli.

“Sistem aduan mesti bebas dan terlindung. Pelaku mesti ditangani secara adil dan tegas.

“Jika kita masih memilih untuk menangguh undang-undang ini, maka kita sedang membuka pintu kepada tragedi seterusnya,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen