Jauhi perbuatan tidak bermoral: JHEAINS

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Lahad Datu menggesa umat Islam agar terus taat kepada perintah Allah SWT dan mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW dengan menjauhi perbuatan tidak bermoral serta melanggar hukum agama.

Pegawai JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Arifin berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan aktiviti tidak bermoral di sekitar daerah ini dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Kami sudah kenal pasti lokasi dan jenis kesalahan, hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat serbuan bersama jabatan berkaitan,” katanya.

Menurut beliau, JHEAINS akan bekerjasama dengan pihak polis dan imigresen bagi melaksanakan operasi berskala besar untuk membanteras kegiatan maksiat.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka terhadap pergerakan anak-anak memandangkan golongan remaja dikenal pasti antara yang paling terlibat dengan kegiatan tidak bermoral seperti khalwat, judi dan minum arak di pusat hiburan mahupun restoran terbuka.

“Kami juga mengingatkan para guru agama supaya memainkan peranan mendidik dan membimbing masyarakat agar tidak terjebak dalam kancah maksiat demi menjaga keharmonian Lahad Datu,” tambahnya.

Tinggalkan komen