Oleh: Sumayyah Rihanna
SANDAKAN: Depot Imigresen Sandakan kini melebihi kapasiti apabila menempatkan lebih 1,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) berikutan kelewatan proses pengusiran ke Filipina dan Indonesia.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, seramai 1,273 warga Filipina dan 266 warga Indonesia kini berada di depot tersebut, sedangkan kapasiti maksimum hanya 1,200 orang.
Beliau menjelaskan, kelewatan berlaku akibat kekangan mendapatkan dokumen perjalanan daripada Kedutaan Filipina dan Surat Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada Kedutaan Indonesia.
“Selagi dokumen perjalanan tidak dikeluarkan, mereka terpaksa berada lebih lama di depot,” katanya.
Keadaan depot semakin sesak apabila beberapa blok lama terpaksa ditutup untuk kerja penyelenggaraan kerana tidak pernah dinaik taraf sejak 2010.
Bagi mengurangkan kesesakan, sebahagian tahanan akan dipindahkan ke Depot Tawau minggu depan.
Operasi terbaharu di kawasan setinggan Sandakan kelmarin juga menambah bilangan tahanan dengan 125 individu ditahan.
Kali terakhir pengusiran ke Indonesia dibuat pada Mac lalu, menyebabkan ada PATI terpaksa menunggu lebih empat bulan di depot.
