Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Sabah kini selangkah di hadapan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan ketahanan terhadap perubahan iklim susulan kelulusan Enakmen Iklim dan Tadbir Urus Karbon 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, enakmen tersebut bakal memastikan penglibatan komuniti tempatan serta melindungi hak mereka menerusi prosedur Keizinan Termaklum Awal.
“Kerajaan Negeri komited untuk terus melindungi dan memelihara sumber asli, biodiversiti serta ekosistem di Sabah,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sempena sambutan Hari Biodiversiti Sedunia di Dewan Arena Belia di sini, hari ini.
Beliau berkata tema sambutan tahun ini, Harmoni dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Lestari, menekankan keseimbangan antara pembangunan dengan pemeliharaan alam sekitar yang menjadi asas kepada kesejahteraan manusia dan kelestarian masa depan.
“Tema ini juga peringatan kepada rakyat Sabah agar tidak leka membangunkan negeri tanpa mengambil kira kelestarian biodiversiti, kesejahteraan haiwan, tumbuhan dan ekosistem yang memberi manfaat kepada kehidupan,” katanya.
Menurutnya, penjagaan alam semula jadi bukan sahaja memelihara biodiversiti, malah menjamin kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat pada masa ini dan generasi akan datang.
Beliau berkata, usaha itu selari dengan Sustainable Development Goals (SDGs) dan Strategi Biodiversiti Sabah 2024–2034 selain mendukung hala tuju pembangunan negeri ke arah amalan hijau dan pembangunan mampan.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut memaklumkan Sabah merupakan negeri pertama di Malaysia yang giat memacu konsep Ekonomi Biru.
Katanya, melalui inisiatif itu, potensi pelaksanaan teknologi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di perairan Tawau sedang diterokai sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui.
Selain itu, Pusat Biodiversiti Sabah dan Yayasan Petronas dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini melaksanakan Projek Pemetaan Rumput Laut di seluruh negeri.
Beliau turut memberi jaminan bahawa aktiviti pelancongan di Semporna akan dikawal rapi supaya tidak menjejaskan biodiversiti marin, di samping terus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun katanya, usaha pemuliharaan hanya akan berjaya dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, komuniti tempatan dan seluruh rakyat Sabah.
“Saya menyeru semua pihak bersama-sama melindungi kekayaan semula jadi Sabah demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pengurusan sumber semula jadi secara bertanggungjawab selain memastikan perlindungan alam sekitar, kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi sentiasa terpelihara.
