PUTATAN: Gangguan bekalan air yang berlaku di sekitar daerah sejak sebulan lalu, menyebabkan kira-kira 25,000 penduduk berdepan kesukaran termasuk rutin harian mereka terjejas.
EXCO Pemuda Perikatan Nasional (PN) Sabah, Kanny Chew Ly Choi @ Adamz yang menggesa pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) agar tidak terus membiarkan isu ini berlarutan tanpa tindakan konkrit.
Menurutnya, sebahagian penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari sumber luar termasuk membeli daripada lori swasta atau air botol di premis berhampiran.
“Bekalan air yang terputus terlalu lama amat menyusahkan rakyat.
“Kami Pemuda PN Sabah mendesak JANS agar segera bertindak atau cari penyelesaian lebih berkesan untuk masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan di sini, pada Rabu.
Ketika ini, kawasan yang paling terkesan termasuk Kampung Lok Kawi, Kampung Meruntum, Kampung Pasir Putih, Kampung Petagas, Kampung Ketiau dan Kampung Muhibbah.
Menurut beliau, masalah gangguan bekalan air itu perli diatasi segera dan usaha jangka masa pendek yang boleh dilakukan bagi membantu penduduk adalah menyampaikan bantuan lori tangki air ke Kampung Meruntum.
“Kampung Meruntum salah satu kawasan yang terputus bekalan air.
“Kami turun bantu setakat yang termampu, tetapi ini bukan penyelesaian sebenar.
“Isu ini perlukan campur tangan serius dan tindakan segera pihak bertanggungjawab,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar pelan penyelesaian jangka pendek dan panjang dilakukan segera.
“Tindakan itu bagi memastikan rakyat tidak terus terbeban dengan masalah yang sepatutnya boleh dielakkan,” tegasnya.
