Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Mahkamah Anak Negeri (MAN) diminta untuk memberi penjelasan dan meneliti semula keputusan yang sudah dibuat berhubung dakwaan membenarkan urusan pindah milik aset tanpa melalui proses di mahkamah sivil.
Wakil ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Thien, 73 tahun memberitahu bahawa beliau dan adik-beradik waris kepada si mati (adik lelaki beliau) yang meninggal pada tahun 2020, hilang hak milik terhadap syarikat dan saham kerana sudah dipindah milik sepenuhnya kepada adik ipar beliau (isteri mendiang).
“Kita semua adik-beradik mahu penjelasan dan mahu MAN teliti semula kenapa kami lima adik-beradik yang lain yang pernah kongsi dana dan usaha bersama-sama bangunkan syarikat ini, tiba-tiba tidak lagi tersenarai sebagai penama dalam perusahanan keluarga ini.
“Kita semua adik-beradik bina syarikat ini pada tahun 1999 dan kami ada tugas sendiri, saya memandu bas bersama dua adik lain, ada lagi yang jadi mekanik bas, dan adik kami yang meninggal itu pula jadi pengurus, macam pengarah syarikat la begitu dan kami bagi kepercayaan kepada dia untuk urus syarikat.
“Selepas mendiang meninggal, kami tidak tahu aset kami semua sudah dipindah milik, sampai kami terima surat pengesahan waris daripada MAN pada tahun 2021, yang mengatakan bahawa semua aset kini dibawah nama isteri mediang, dengan nama keluarga Chin,” dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.
Menurut Thien, syarikat yang diusahakan bersama itu sudah dibangunkan selama 30 tahun dan apa yang berlaku itu seolah-olah memusnahkan segala usaha bersama keluarga mereka.
“Apabila MAN benarkan pindah milik aset, maka timbul persoalan dan kami sekeluarga mahu hal ini dijelaskan supaya tidak berlaku sebarang pertindihan dalam kalangan keluatga, kerana kita tahu hal ini sudah berlarutan untuk tempoh empat tahun.
“Kami semua sudah usaha untuk bertemu beberapa peguam tapi masih tidak nampak jalan penyelesaian tuntas, kami tidak tahu apa lagi perlu kami lakukan dan untuk itu hari ini saya bertemu dengan wakil MHO untuk mendapatkan nasihat serta minta bantuan untuk selesaikan masalah ini,” dakwanya lagi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mengambil langkah untuk membantu keluarga Thien untuk mendapatkan penjelasan serta perincian bagi masalah itu.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) perlu menyemak semula keputusan yang dibuat oleh MAN kerana isu tersebut adalah isu asas yang berkaitan dengan bidang kuasa, bukan pertindihan.
“Isu ini berkaitan saham perusahan, adakah isu ini dalam ruang kuasa dan perintah mahkamah itu, waris mendiang adalah pelabur dan tenaga kerja utama dalam syarikat mereka, tetapi mereka tidak lagi menerima sebarang pulangan daripada perniagaan perusahaan itu, tidak wajar ini.
“Jika diteliti, berdasarkan Seksyen 5 Ordinan Mahkamah Anak Negeri Sabah 1967, kuasa MAN terbatas kepada hal yang berkaitan dengan adat, undang-undang peribumi, misalnya hal urusan nikah kahwin, pusaka adat dan harta adat.
“Dalam Seksyen 5(1)(a) dan (b) juga menyebut bahawa bidang kuasa MAN cuma meliputi di mana semua pihak adalah orang peribumi, atau hal berkaitan persoalan adat dan agama, serta kuasa lain, dan dalam Sekyen 6 Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 jula, jelas mengatakan bidang kuasa MAN terhad pada hal berkaitan undang-undang atau adat anak negeri, lebih spesifik lagi ialah hal berkaitan perkahwinan, penceraian, pertunangan, penjagaan anak, nafkah dan pembahagian harta pusaka menurut adat,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah menghantar surat tuntutan penjelasan kepada JHEANS.
“Kita sudah hantar surat dua minggu lalu tapi sehingga kini kita belum terima sebarang maklum balas lagi.
“Barangkali dalam tempoh terdekat, kita akan hadir ke sana terus, sekali lagi untuk dapatkan campur tangan mereka yang terbabit kerana kita mahu aduan yang dibuat ini diberi perhatian dan dirungkai persoalannya.
“Kita mahu tahu, adakah MAN boleh keluarkan satu keputusan berkaitan saham syarikat,” ujar beliau lagi.
