Lori tangki bawa 10,000 liter petrol terbabas

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Sebuah lori tangki membawa muatan 10,000 liter petrol terbabit dalam kemalangan di Jalan Sabahan, di sini pagi tadi, menyebabkan berlaku kebocoran bahan bakar ke kawasan berhampiran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.03 pagi.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dengan kekuatan 11 anggota segera digerakkan ke lokasi sejauh 35 kilometer dan tiba kira-kira jam 9.32 pagi.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori milik Petronas yang terbabas dengan seorang mangsa, pemandu lori, berada di bahu jalan dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Bagi mengawal risiko kebakaran, pasukan Hazmat yang diketuai PPgB Mohamad Hannis Mokhtar telah mengarahkan kerja-kerja pancutan buih (foam) ke seluruh lori bagi mengurangkan risiko percikan api.

Selain itu, zon keselamatan dianggarkan 100 kaki dari lokasi lori turut diwujudkan, manakala pergerakan petrol yang bocor dipantau bagi mengelakkan pencemaran ke kawasan sekitar.

“Minyak yang mengalir dikesan menuju ke sebuah kolam berhampiran dan pihak syarikat lori telah dimaklumkan untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Tiada kebakaran dilaporkan dan keadaan berada dalam kawalan.

Tinggalkan komen