Oleh: Zacherlyn Ad
PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementerian itu mensasarkan untuk mengajurkan 20,000 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) sebagai usaha untuk menghargai inisiatif dan ikhtiar berpaksikan kesejahteraan rakyat.
“Keseluruhan inisiatif dan ikhtiar yang diumumkan terkait secara langsung dengan agenda menangani isu kos sara hidup dalam bentuk mitigasi atau intervensi isu harga secara bersasar dan tambahan kepada bantuan sara hidup.
“KPDN akan melaksanakan mandat untuk meningkatkan pelaksanaan PJRM melalui peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta daripada peruntukan asal RM300 juta untuk keseluruhan jenis program di bawah Agenda Payung Rahmah Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui dalam PJRM, di sini, hari ini.
Menurut Armizan lagi, melalui peruntukan tambahan ini, KPDN akan melaksanakan tiga elemen penambahbaikan utama dalam pelaksanaan PJRM 2025 termasuk kekerapan pelaksanaan, peningkatan jenis barang jualan dan penglibatan lebih ramai rakan strategik.
“Kita akan meningkatkan kekerapan pelaksanaan PJRM di seluruh negara, meliputi kesemua 222 kawasan parlimen dan 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara serta 40 zon di Wilayah Persekutuan. KPDN menyasarkan sebanyak 20 ribu siri pelaksanaan PJRM sepanjang tahun 2025.
“Selain itu, kita juga akan meningkatkan bilangan jenis Stock Keeping Unit (SKU) barangan keperluan asas yang ditawarkan secara bersasar berdasarkan permintaan golongan sasar setempat dan keperluan musim tempoh penganjuran seperti musim perayaan.
“Kita juga akan melibatkan lebih banyak rakan strategik peruncitan dalam pelaksanaan PJRM melalui kaedah PJRM Bergerak, Dalam Premis dan Luar Premis. KPDN telah menyediakan Takwim PJRM di lawan sesawang kementerian untuk rujukan maklumat pelaksanaan PJRM di seluruh negara. Dengan pengumuman tambahan peruntukan pelaksanaan PJRM bagi tahun 2025, KPDN akan mengemas kini penjadualan tambahan PJRM dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
Armizan juga memberitahu bahawa KPDN turut mempunyai takwim yang akan sentiasa dikemaskini untuk orang ramai mengetahui maklumat berkaitan PJRM di semua kawasan.
“Kita buat ini untuk memudahkan rakyat untuk memanfaatkan jualan rakyat yang kita buat untuk mereka.
“Kita kemaskini semua info di takwim ini dan boleh diakses oleh orang ramai,” jelasnya.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu, setakat ini, sebanyak 12,441 siri PJRM sudah dilaksanakan dan dalam tempoh lima bulan lagi, sasaran 20,000 itu akan dapat dicapai.
“Tumpuan kita, dan kita alu-alukan saranan dari semua pihak, untuk kongsi tempat yang mudah diakses, kerana kita boleh buat PJRM bergerak, kita akan pergi ke lokasi-lokasi yang diminta oleh rakyat, misalnya jika tempat itu jauh, dan akan mendatangkan kos tambahan pada mereka jika perlu keluar ke pasaraya.
“Kita juga lihat, dengan tempoh masa yang diberikan, kita akan selesaikan semuanya dan kita akan berikan laporan prestasi kepada Kementerian Kewangan (MOF), bagi pertambahan nilai peruntukan tambahan itu.
“Kita akan cuba tingkatkan barang jualan sekurang-kurangnya 30 barang, dan kita juga pentingkan kerjasama dengan rakan strategik kerana ini akan memberi pilihan yang lebih dan impak positif kepada pengunjung kita, rakyat kita apabila datang berbelanja di PJRM yang kita adakan,” ujar beliau lagi.
