KOTA KINABALU: Pengarah Tanah dan Ukur merangkap Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min memberitahu bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen bagi kerja carigali kepada Syarikat Bumi Suria Sdn. Bhd.
“Jabatan Tanah dan Ukur Sabah tidak mengeluarkan lesen mencarigali (Prospecting Licence) dikeluarkan kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).
“Semua kenyataan, promosi, atau tindakan yang dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan lesen mencarigali oleh itu adalah tidak berasas.
“Untuk pengetahuan semua, ini tidak ada sebarang kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa perlombongan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, sebarang aktiviti pencarigalian mineral di Negeri Sabah hanya boleh dijalankan setelah mendapat lesen sah.
“Aktiviti carigali mineral hanya boleh dibuat setelah lesen sah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 6 dan 8 Ordinan Perlombongan Sabah 1960 dan tertakluk kepada syarat-syarat teknikal serta perundangan lain yang berkaitan yang ditetapkan.
“Pihak jabatan memandang serius sebarang kenyataan awam melalui mana-mana media yang boleh mengelirukan orang awam,” ujar beliau lagi.
Baru-baru ini, tular selepas sebuah portal berita tempatan membuat laporan berita yang menerbitkan dokumen, yang mana didakwa mengesahkan bahawa ahli lembaga pengarah Bumi Suria Sdn. Bhd., Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dianugerahkan lesen cari gali simpanan mineral di kawasan hutan simpan yang luas di Sabah.
Semakan portal berita itu terhadap rekod rasmi syarikat mendapati Bumi Suria dimiliki oleh Borneo Bumi Sdn. Bhd., yang dimiliki oleh Farhash dan seorang ahli perniagaan, Aminudin Mustapha.
Kedua-duanya merupakan pengarah bagi kedua-dua syarikat itu.
