Dua pegawai ditahan reman, disyaki minta suapan RM200 ribu

SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman dua lagi pegawai lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM200,000 sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja membaik pulih infrastruktur. 

Majistret, Yong Ching Hong membenarkan  kedua-dua suspek direman selama lima hari sehingga 28 Julai 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan, Sabah, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri dariapda seorang lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 30an itu telah ditahan antara pukul 7 hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut dari tahun 2022 hingga 2025 (kini) dan tangkapan ini adalah susulan daripada lima tangkapan yang dilakukan baru-baru ini.  

“Kedua-dua suspek dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM200,000 melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi masing-masing daripada kontraktor untuk kerja-kerja membaik pulih laluan pejalan kaki, pagar dan membina semula masjid ,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan sesuatu perbuatan berkaitan tugas rasmi.

Beliau menyatakan kemungkinan ada tangkapan lagi dalam masa terdekat.

Tinggalkan komen