RM500 ribu nilai rampasan di gudang rokok

Oleh: Sumayyah Rihanna

LAHAD DATU: Tiada hari tanpa operasi, itulah komitmen Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah yang terus menggempur kegiatan penyeludupan rokok di kawasan perairan dan pesisir Pantai Timur negeri.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, sekitar pukul 5.30 pagi semalam, pasukan Unit Gempur Marin (UNGERIN) berjaya menyerbu sebuah premis di kawasan Silam yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan rokok seludup.

“Hasil serbuan, polis merampas 215,600 batang rokok pelbagai jenama bersama dua buah kenderaan yang digunakan untuk menyimpan barangan seludup itu,” katanya.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 25 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM507,590.00,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, tengah malam tadi.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan.

“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited memerangi jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

Tinggalkan komen