Oleh: Sumayyah Rihanna
SEMPORNA: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bugaya, Datuk Marunda KK Ampong menyatakan sokongan penuh terhadap penganjuran program penguasai ilmu fardhu kifayah seperti asas pengurusan jenazah.
“Program seumpama ini disifatkan amat penting dalam usaha meningkatkan kesedaran umat Islam tentang ilmu fardhu kifayah di samping memperkukuh silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
“Saya harap program keagamaan seumpama ini akan terus diadakan di kawasan Bugaya pada masa akan datang demi memartabatkan syiar Islam dan membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap tanggungjawab bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir dalam Semunar Penerapan Syariat dan Etika Pengurusan Jenazah Daerah Semporna di Masjid An-Nur Kampung Sungai Buaya, Ahad lalu.
Seminar itu diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan serta kefahaman mendalam kepada penduduk mengenai tatacara pengurusan jenazah mengikut syariat Islam yang betul.
Seminar tersebut turut menekankan aspek etika dan adab yang wajar dipelihara sepanjang proses pengurusan jenazah agar tuntutan agama dapat dilaksanakan dengan sempurna dan penuh rasa tanggungjawab.
