Oleh: Zacherlyn Ad
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan bahawa kerajaan bakal memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
“KPDN bekerja untuk menangani segala masalah ketirisan dalam bentuk penyelewengan ataupun aktiviti penyeludupan, dan kita tidak pernah rancanh untuk menarik apatah lagi memansuhkan subsidi berkenaan.
“Bahkan, kerajaan terus komited dalam usaha memudahkan rakyat dengan menyalurkan subsidi silinder LPG kepada rakyat, namun asasnya adalah subsidi kepenggunaan, subsidi dapur rakyat, untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, siang tadi.
Menurut Armizan, dakwaan itu adalah satu kenyataan yang tidak tepat dan mengelirukan.
Katanya, kerajaan juga pada masa sama memberi perhatian dan fokus kepada sektor perniagaan makanan dan minuman mikro dan kecil yang memerlukan bantuan berkenaan.
“Kerajaan sentiasa terbuka untuk membenarkan sektor perniagaan mikro dan kecil ini untuk terus memanfaatkan subsidi berkenaan kerana inilah usaha kita dalam membantu rakyat, termasuk peniaga kecil.
“Tetapi, jika alasan mereka adalah untuk menawarkan harga yang berpatutan, maka, harap dapat dipastikan harga makan dan minuman juga harga rakyat dan bukan harga ‘kayangan’,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga menjelaskan bahawa komitmen kerajaan itu bakal diterjemahkan menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021.
“Ini adalah untuk membolehkan adanya kejelasan undang-undang dalam memperkenalkan mekanisme kawalan,” ujar beliau lagi.
