Jaga kepentingan negeri baik-baik: Suhaimi

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyeru semua pihak untuk terus memberi khidmat bakti dengan penuh dedikasi dan menjaga kepentingan negeri sebaiknya.

“Amanah rakyat adalah prinsip tertinggi dalam kerangka demokrasi. Kita tidak mahu lihat ada pemerintah yang mengkhianati mandat itu dan hanya rakus berpolitik. 

“Terkini, isu pemberian lesen perlombongan mineral yang dijalankan secara senyap seperti warisan keluarga bukan sebagai aset negeri yang menjadi milik rakyat.

“Lebih memalukan, ada dalam kalangan pemimpin cuba untuk menipu sejarah dengan mendakwa kemajuan sektor minyak dan gas hanya bermula selepas penubuhan SMJ Energy (SMJE) pada 2021. Hakikatnya, projek mega SIOGP bernilai RM54 bilion telah pun dilancarkan pada 2014 di bawah pentadbiran Barisan Nasional,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Suhaimi, pemimpin yang hanya gemar mengumumkan Sabah menerima pelaburan berbillion ringgit, tetapi mengabaikan rakyat adalah pemimpin yang mementingkan diri.

“Kita kena tahu, rakyat berhak tahu berapa banyak yang masuk ke syarikat anak jati Sabah? Dan adakah rakyat benar-benar mendapat manfaat daripadanya, atau hanya kroni yang kenyang?

“Lebih menyakitkan, ketika rakyat mengeluh tentang air, jalan rosak dan elektrik terputus, kerajaan bisu. Tapi bila melibatkan lesen mineral kerajaan tiba-tiba cekap, tergesa-gesa dan senyap. Ini keutamaan sebagai pemimpin?,” katanya lagi.

Selain itu, Suhaimi juga memberitahu bahawa Sabah kini berada dalam krisis kepimpinan yang paling parah.

“Seorang pemimpin yang benar-benar mencintai negeri ini tidak akan sanggup menggadaikan tanah dan maruah negeri hanya demi kuasa, jawatan atau kelangsungan sebuah gabungan politik yang longgar dan tidak berprinsip. Inikah yang dimaksudkan dengan “Sabah For Sabahan”?

“Rakyat Sabah berhak tahu siapa yang mengaut, siapa yang melulus, kerana ini bukan wilayah untuk dikuasai seolah-olah milik mutlak pemimpin politik.

“Saya ingin memberikan peringatan keras. Jangan sesekali gadai Sabah demi kepentingan peribadi,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen