58 unit CCTV di lima kampung DUN Darau untuk Fasa II

KOTA KINABALU: 58 unit kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lima kampung dalam Fasa Kedua di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau.

Usaha murni itu dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus dipergiat menerusi pelaksanaan pemasangan 

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, inisiatif itu adalah bukti komitmennya untuk  memastikan komuniti setempat terus dilindungi daripada ancaman jenayah.

“Kesemua 58 unit CCTV yang kita pasang sepanjang Jun lalu telah melibatkan lima kampung termasuk Kampung Darau (14 unit); Kampung Rampayan (15 unit); Kampung Warisan (15 unit); Kampung Kalansanan (10 unit); dan Kampung Likas (4 unit).

“Selepas ini, kita akan meluaskan lagi usaha ini ke beberapa lagi kawasan strategik termasuk Kampung Kalansanan, Kampung Bangka-Bangka, Kampung Kembirian serta sekolah-sekolah yang memerlukan dalam kawasan DUN Darau.

“Kita bukan sahaja memberi tumpuan kepada kawasan berisiko, tetapi juga premis pendidikan bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin. Usaha ini merupakan langkah proaktif dari pihak kita untuk membina komuniti yang lebih selamat dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir sama dalam aktiviti pemasangan CCTV, di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, pemasangan CCTV itu juga antara lain bertujuan untuk membantu pihak berkuasa dalam siasatan kes serta meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap persekitaran mereka.

“CCTV terbukti berkesan dalam pencegahan jenayah. Kehadiran kamera ini dapat memberikan rasa selamat kepada penduduk, sekaligus membina suasana kehidupan yang lebih tenang dan tenteram,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Razali turut mengajak penduduk kampung dan jawatankuasa keselamatan kampung untuk bekerjasama dalam penyelenggaraan sistem serta bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Pembangunan dan keselamatan bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi juga memerlukan penglibatan aktif rakyat.

“Jika semua pihak bekerjasama, saya yakin Darau boleh menjadi contoh kawasan yang progresif dan selamat di Sabah,” katanya lagi.

Pemasangan CCTV itu turut melibatkan barisan pemimpin-pemimpin di peringkat kampung dan juga ahli-ahli Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Ketua Cawangan Gagasan Rakyat Kampung Cenderamata 1 Likas, Mohamad Suffian Saprin.

Februari lalu, pelaksanaan pemasangan CCTV bagi Fasa I melibatkan 24 kawasan ‘hotspot’ di Likas yang dipasang CCTV bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan di kawasan tersebut. 

Tinggalkan komen